Sunday, March 20, 2011

Aturan Tuhan


Aturan Tuhan…………
            Bismillahirrahmannirrahim sebagai pemula bicara. Assalamualaikum W.B.T.
“Sekadar berkongsi pendapat” kembali menukilkan kata dalam “Ungkapan Bicara” untuk kali ini sebagai peringatan untuk diri terutamanya dan sahabat2 umumnya. Diri ini bukanlah seorang penulis yang hebat, hanya berkongsi ilmu yang ada untuk diutarakan kepada semua. Seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah adh-Dhariyat: 55)
            Ramai manusia yang mengeluh itu dan ini apabila sesuatu yang mereka tidak inginkan berlaku pada diri mereka. Sesuatu yang pada pendapat akal mereka, tidak akan dan tidak mungkin terjadi pada diri mereka. Mereka sering kali merasakan ketidakadilan berlaku pada diri mereka dan merasakan mereka perlu dan mesti dapat apa yang mereka mahukan dan inginkan.
            Begitulah senario yang sentiasa berlaku pada diri Umat Islam kala ini termasuklah diriku sebagai hamba Nya yang kerdil di sisi Nya. Perlulah ingat akan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
 ……….,dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216).
Oleh yang demikian, kita perlulah akur akan aturan Tuhan kerana DIA lah yang lebih mengetahui dan DIA lah yang telah menentukan hidup dan mati setiap insan yang berada di muka bumi ini iaitu alam persinggahan sebelum sampai ke sana (akhirat).
Akhir kata, “sekadar berkongsi pendapat” berehat seketika dalam mengungkap kalam dalam “Ungkapan Bicara”. Dan perlulah ingat akan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Oleh sebab itu, berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanafaat. Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya.” (Surah al-A'la: 9-11)
Sekian dari hamba Allah yang masih belajar dan perlu tunjuk ajar…..
Azraidi………….Wassalam

Sunday, February 27, 2011

MELAGUKAN BACAAN AL-QURAN

 MELAGUKAN BACAAN AL-QURAN

Dari Abu Hurairah r.a bahawa dia mengatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Tiadalah keizinan Allah untuk mengerjakan sesuatu yang dapat menyamai izin-Nya kepada nabi s.a.w untuk melagukan bacaan al-Quran.”
(Muslim)
Huraian:
Adat manusia menyukai akan seni lagu walaupun mempunyai selera dan rentak yang berbeza. Lagu dan irama biasanya dapat memberi keselesaan kepada perasaan manusia yang mendengar. Membaca Al-Quran dengan tartil atau memperelokkan bacaannya dengan lagu atau tajwid adalah sangat-sangat dituntut dalam cara membaca al-Quran, kerana tujuan utama membacanya ialah memikirkan maksud-maksudnya.
Cara membacanya dengan tartil akan dapat menolong memahami maksud-maksudnya. Sebab itu Ummu Salamah r.a. ketika membaca al-Quran sering mencontohi bacaan Rasulullah s.a.w dan membacanya seolah-olah ia sedang mentafsirkan huruf demi huruf dari al-Quran itu. Oleh itu orang yang sentiasa membaca al-Quran dengan baik dan sempurna akan mempunyai hati dan jiwa yang lembut kerana ia memahami tentang ayat-ayat yang berunsur ancaman dan kecaman serta janji-janji Allah yang terkandung dalam ayat yang dibacanya itu.

di ambil dari ; http://hadis.feryco.com/melagukan-bacaan-al-quran

Saturday, February 26, 2011

sekadar pendapat

Assalamualaikum....

sy juga turut berkongsi kegembiraan bila ada glgn belia dan remaja yg mahu merubah diri dan ingin sebaris dengan pemimpin... sebagai mahasiswa, sy juga turut terkilan apabila sebahagaian suara dan pndgn masyarakat mahasiswa kampus tidak di endahkan... oleh itu, bagaimana negara ingin mewujudkan pemimpin pelapis masa depan.. sedgkn ramai dikalangan mahasiswa berpotensi dlm kepemimpinan tetapi mereka seolah2 di anak tirikan dek krn status peribadi tidak mengarah kpd kerajaan... pd pndpt sy, mereka ini perlu diadaptasi dlm prncgn pemimpin masa depan, krn mereka juga mengeluarkan idea2 yg bernas dan membina. perlulah m,beri glkn agar mereka rasa disayangi dan di ambil berat... jika api bertemu api, maka akan hanguslah semua, lebih baik api dipertemukan dengan air agar x rentung keseluruhannya dan dpt menyelamatkan sbhgn yg lain. dan yg terkena serpihan bara itu, boleh dipulihkan....

Thursday, February 24, 2011



BERTAJWID DAN MELAGUKAN AL-QURAN, YANG MANA DIUTAMAKAN.
           
            Kitabullah merupakan kitab suci yang mana ianya bersifat terpelihara, dan merupakan kitab yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Nabi junjungan Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril. Itulah al-Quran yang mana ianya sangat mulia kerana diturunkan kepada semulia-mulia manusia melalui semulia-mulia malaikat, pada semulia-mulia bulan, di semulia-mulia tempat, dalam semulia-mulia bahasa. Ini menunjukkan al-Quran itu mempunyai segala bentuk kesempurnaan dan kemuliaan. Walaupun begitu, saya beranggapan umat islam kala ini seperti tidak menyatakan yang ianya benar-benar bersifat sedemikian, kerana mereka sudah tidak mempedulikan bacaan secara bertajwid, dan melebihkan melagukan al-Quran. Apakah bacaan secara bertajwid ini tidak dituntut, dan apakah melagukan al-Quran juga tidak diperlukan?.
            Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu Kifayah, manakala mempraktikkannya dalam bacaan al-Quran adalah fardhu ‘Ain. Kewajipan dalam mempraktikkan tajwid dalam bacaan al-Quran adalah tidak diragukan dan terdapat jelas dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Sunnah dan Ijma’ Ulama mengenainya.
Antara dalil-dalil dari Al-Quran:-
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:     “Bacalah Al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)” (al-Muzammil = 4)
            Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah s.w.t memerintahkan Nabi s.a.w membaca al-Quran yang diturunkan kepadanya itu dengn tartil, iaitu mengelokkan sebutan setiap huruf-hurufnya, yakni membacanya secara bertajwid. Ini membuktikan bahawa bacaan al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah bacaan secara bertajwid bukan sekadar bacaan biasa.

            FirmanNya lagi:
Maksudnya:     “Dan kami (Allah) telah bacakan (Al-Quran itu) kepada (Muhammad s.a.w) secara Tartil (bertajwid)” (al-Furqan =32)
            Antara dalil-dalil dari Al-Sunnah:-
            Hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a (isteri Nabi s.a.w) apabila beliau ditanya bagaimanakah bacaan Rasulullah s.a.w dan solat baginda, maka beliau menjawab:
Maksudnya: “Ketahuilah kamu semua, menjadi kelaziman bagi baginda s.a.w bersolat kemudian tidur dengan kadar lamanya baginda bersolat tadi, kemudian baginda solat semula dengan kadar lamanya baginda tidur, kemudian tidur semula dengan kadar selama beliau solat, begitulah hal baginda hingga menjelang subuh, kemudia dia (Ummu Salamah) menunjukkan cara bacaan Rasulullah s.a.w, maka beliau menunjukkan (satu) bacaan yang menjelaskan (sebutan) huruf-hurufnya satu persatu”. (Hadis 2847 Jmi’ al-Tirmizi)
           
Dalil dari Ijma’ Ulama:-
Para ulama sepanjang zaman sejak dari zaman Rasulullah s.a.w sehingga sekarang telah bersepakat menyatakan bahawa membaca al-Quran secara bertajwid hukumnya adalah fardhu dan wajib. Pengarang kitab Nihayah menyatakan: “Sesungguhnya telah Ijma’ (sepakat) semua imam, dari kalangan ulama yang dipercayai, bahawa tajwid adalah suatu yang wajib sejak zaman Nabi s.a.w lagi sehinggalah sekarang dan tiada seorang pun yang mempertikaikan kewajipan ini”.

Akan tetapi, kita diharuskan melagukan al-Quran seperti sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: “Hendaklah kamu melagukan dengan bacaan al-Quran itu, kerana bukan dari kalangan kami mereka yang tidak mahu melagukan dengan bacaan al-Quran dan menangislah, jika tidak mampu menangis, maka buatlah olok-olok menangis”. (Hadis riwayat al-Nasa,i)

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri memerintahkan umatnya supaya melagukan dengan bacaan al-Quran, dan mempertikaikan golongan umatnya yang tidak mahu melagukan bacaan al-Quran. Sebaliknya mereka lebih suka melagukan sya’ir, mengagungkan bahasa sendiri dari keagungan al-Quran.
Berdasarkan hadis ini juga, kita diharuskan menangis ketika membaca al-Quran, dan buat-buat menangis sekiranya kita tidak mampu menangis. Rasulullah s.a.w menggalakkan lagu al-Quran itu yang boleh membawa kepada khusyu’.
Firman Allah s.w.t:-
Maksudnya: “Dan mereka segera menumuskan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedang al-Quran menambahkan mereka khusyu’”. (al-Isra =109)

            Sebelum mengakhiri kalam, tuntasnya disini, al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertajwid kerana ia memang dituntut dan melagukan al-Quran juga sebagai satu galakkan agar kita membaca dengan terhasilnya kekhusyukan dan dapat melahirkan rasa insaf juga sebagai satu momentum kearah mencintai al-Quran.
            Akhir bicara saya disini, marilah sama-sama kita mempelajari apa-apa yang berkaitan dengan al-Quran itu dengan sebaik mungkin, agar identiti al-Quran itu tidak ditelan zaman dan tidak dihanyut arus.
p/s; sekadar perkongsian, yang baik dari pencipta dan yang lemah dari yang dicipta.. Wallahu ‘alam wa ahkam.
By: azri ibnu kifli (azraidi87@yahoo.com)