Aturan Tuhan…………
Bismillahirrahmannirrahim sebagai pemula bicara. Assalamualaikum W.B.T.
“Sekadar berkongsi pendapat” kembali menukilkan kata dalam “Ungkapan Bicara” untuk kali ini sebagai peringatan untuk diri terutamanya dan sahabat2 umumnya. Diri ini bukanlah seorang penulis yang hebat, hanya berkongsi ilmu yang ada untuk diutarakan kepada semua. Seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah adh-Dhariyat: 55)
Ramai manusia yang mengeluh itu dan ini apabila sesuatu yang mereka tidak inginkan berlaku pada diri mereka. Sesuatu yang pada pendapat akal mereka, tidak akan dan tidak mungkin terjadi pada diri mereka. Mereka sering kali merasakan ketidakadilan berlaku pada diri mereka dan merasakan mereka perlu dan mesti dapat apa yang mereka mahukan dan inginkan.
Begitulah senario yang sentiasa berlaku pada diri Umat Islam kala ini termasuklah diriku sebagai hamba Nya yang kerdil di sisi Nya. Perlulah ingat akan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“ ……….,dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216).
Oleh yang demikian, kita perlulah akur akan aturan Tuhan kerana DIA lah yang lebih mengetahui dan DIA lah yang telah menentukan hidup dan mati setiap insan yang berada di muka bumi ini iaitu alam persinggahan sebelum sampai ke sana (akhirat).
Akhir kata, “sekadar berkongsi pendapat” berehat seketika dalam mengungkap kalam dalam “Ungkapan Bicara”. Dan perlulah ingat akan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Oleh sebab itu, berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermanafaat. Orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya.” (Surah al-A'la: 9-11)
Sekian dari hamba Allah yang masih belajar dan perlu tunjuk ajar…..
Azraidi………….Wassalam